Saturday, April 3, 2010

masalah sosial yang semakin menanah... di mana silapnya?




Dalam kehidupan dunia yang serba canggih, kita tidak dapat mengelak pertembungan dan kemasukan pelbagai bentuk budaya asing daripada luar. Gay, lesbian, punk, black metal, skinhead, hedonisme merupakan satu anutan budaya songsang yang menular dalam kehidupan masyarakat hari ini dan menjadi ikutan terutamanya di kalangan remaja kita.

Bukan sukar untuk kita melihat betapa budaya songsang semakin meresap dalam budaya masyarakat kita.

Kunjungan ke pusat membeli belah misalnya pasti membuka mata kita dengan pelbagai aksi terutama di kalangan remaja dan ia bukan lagi sesuatu yang mengejutkan.

Hari ini pasangan berpelukan telah menjadi norma sebagai tanda persahabatan. Pakaian yang seksi dan menjolok mata merupakan ekspresi diri kepada kebebasan yang ingin ditonjolkan. Bercium dan bermadu kasih di khalayak umum merupakan 'manifestasi' kepada tanda kasih sayang cinta sejati.

Persoalannya di sini adakah itu yang dimaksudkan dengan budaya masyarakat kita yang penuh dengan kelembutan dan tatasusila yang tinggi?

Menjawab persoalan itu maka kita perlu mencari faktor yang mendorong kepada kecenderungan remaja terlibat di dalam masalah ini. Paparan filem-filem cinta sama ada dari Barat, Timur atau pun Malaysia sekalipun kini diselitkan dengan adegan-adegan panas seolah-olah ia satu kewajipan.

Peliknya kadangkala adegan yang ditonjolkan itu tiada kaitan langsung dengan jalan cerita yang ingin dipaparkan. Segmen tersebut hanya bertujuan menarik perhatian penonton semata-mata.

Dalam konteks Malaysia kita telah melaksanakan penguatkuasaan seperti mengklasifikasikan dilem yang boleh ditonton dan tidak boleh ditonton oleh golongan remaja di pawagam. Tetapi masalahnya ialah remaja hari ini tidak memilih pawagam untuk menonton filem. Khalayak remaja menggunakan kecerdikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mengakses pelbagai jenis cerita terutama filem lucah melalui laman web. Dan apa yang paling digeruni oleh masyarakat timur kita hari ini ialah keinginan mereka untuk meniru adegan yang ditonjolkan.

Selain itu, jika kita lihat di kebanyakan kedai, penjualan kondom dilakukan secara terbuka. Dari aspek positif penjualan kondom secara terbuka bertujuan mengelakkan daripada merebakknya jangkitan HIV/AIDS tetapi telah disalahgunakan oleh pihak lain. Saya sempat melihat ge- lagat sepasang remaja lelaki dan wanita masuk kedai serbaneka 24 jam berbincang kondom mana yang ingin mereka beli (mungkin membincangkan perisa yang digemari).

Dan yang menjadi 'kekaguman' saya lagi ialah pihak perempuan yang tampil ke kaunter untuk membuat bayaran. Persoalannya salah siapa? Ibu bapa, guru, kaunter bayaran kedai tersebut atau mungkin saya sendiri yang tidak menegur mereka.

Kajian hubungan seks sebelum nikah di kalangan remaja di sekitar Lembah Klang pada tahun 2005 menunjukkan hasil yang tidak menyenangkan. Lebih daripada 30 peratus responden mengaku pernah melakukan hubungan seks dan 27 peratus daripadanya pernah melakukannya sebelum mencapai umur 15 tahun. Daripada maklumat kajian, golongan ini terdedah kepada maklumat seks melalui majalah, filem, Internet dan rakan-rakan.

MeningkatSatu kajian lain pula di sekitar kedai yang terdapat di institusi pengajian tinggi di Lembah Klang mendapati jualan kondom merosot semasa pelajar bercuti semester dan angka jualan meningkat apabila kuliah bermula. Maka sekali lagi per- soalannya, adakah isu seks merupakan masalah 'terpencil' atau telah sampai masanya semua pihak melihat permasalahan ini sebagai sesuatu yang perlu ditangani dengan segera.

Dalam konteks pendidikan di negara kita pendidikan agama dan moral sangat ditekankan dan merupakan subjek wajib yang perlu diikuti. Dari bangku sekolah rendah sehinggalah tamat tingkatan lima semua pelajar akan mempelajari dan cuba untuk memahami serta mengamalkan ilmu yang dipelajari itu. Kalau dilihat tempoh hampir 10 tahun itu nampaknya seolah-olah ia telah lengkap.

Namun demikian faktor-faktor yang mendorong remaja untuk melakukan seks lebih dominan. Pengaruh mental dan fizikal yang ada di sekeliling remaja telah merobohkan benteng yang dibina selama ini.

Masalah ini perlu diatasi dengan segera. Sekiranya tiada langkah yang betul-betul bijaksana maka kita akan sentiasa mendengar kebanjiran cerita yang menyentak sanubari perasaan kita. Kita akan terus menangis melihat tubuh-tubuh kecil yang tidak berdosa ditinggalkan. Lebih menyentuh perasaan apabila kita melihat tubuh-tubuh comel terkulai kaku akibat keserakahan manusia yang tidak mempunyai hati dan naluri kemanusiaan. Adakah ini yang ingin kita tontoni dan baca di dada-dada akhbar?

Semua pihak perlu melihat permasalahan ini sebagai perkara yang serius dan masalah bersama. Agenda melahirkan modal insan yang berkualiti pasti akan terganggu sekirannya perkara pokok ini tidak diatasi terlebih dahulu.

Pendidikan seks yang diperkenalkan merupakan satu langkah proaktif dalam menangani masalah ini. Tetapi kerangka pembelajarannya mestilah sentiasa disemak kerana masalah yang berlaku bukannya statik tetapi mempunyai pola-pola perubahan yang pantas dan sentiasa menggamit remaja untuk melakukannya. Untuk mengatasi masalah ini se- cara keseluruhan mungkin agak sukar te- tapi usaha perlu dilaksanakan. Pendekatan pencegahan, rawatan dan pemulihan merupakan pendekatan menyeluruh yang perlu dilaksanakan bagi mengatasinya.

1 comment:

azirah wahab said...

tepuk dada tanya hati..
kematangan bukan dinilai dari umur tp dinilai dr pendirian diri membezakan antara yg baik dan buruk...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...