Friday, April 2, 2010

Kekasihku Ya Rasulullah s.a.w

Bergetar jiwaku tatkala menyebut namamu. Berderai titisan jernih di sisi pipiku tatkala membaca sirahmu. Sesungguhnya engkau memang seorang utusan yang agung. Terlalu banyak peristiwa yang engkau coretkan sepanjang hayatmu. Engkaulah khalifah manusia yang paling agung.
Sabda Rasulullah saw :
“aku lebih utama dari setiap orang beriman atas diri mereka sendiri, maka barangsiapa yg wafat dan menanggung hutang dan ia tidak meninggalkan harta untuk melunasinya, maka akulah yg akan menanggung hutangnya, dan barangsiapa yg wafat dan meninggalkan harta, maka untuk ahli warisnya” (Shahih Bukhari)
Lihatlah betapa mulianya manusia agung yang bernama Muhammad saw ini. Baginda sama sekali wajar disanjung tinggi dan dikurniakan takhta yang tinggi. Keperibadiannya jelas terpancar bukan sekadar lahiriah tetapi juga bathiniah. Keperibadian mulia inilah yang wajar dijadikan sebagai satu contoh dan teladan kepada kita umatnya.
Terdetik di lubuk sanubariku, kenapa semakin hari semakin ramai umat manusia yang melupaimu Ya Rasulku? Kenapa manusia semakin lupa tentang betapa indahnya dirimu? Kenapa manusia semakin lalai untuk beriman kepadamu? Tidakkah mereka sedar betapa bertuahnya mereka kerana terpilih untuk menjadi umatmu. Sedangkan umat sebelum kelahiranmu, ada yang berdoa untuk hidup dibawah panjimu. Manusia kini sekadar meluahkan rasa cinta mereka kepada sesama manusia yang belum tentu kemana. Mereka begitu asyik melantunkan kata-kata indah dan manis kepada pasangan mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa cinta kepadamu adalah cinta yang hakiki dan cinta kepada Allah adalah cinta yang abadi? Alangkah indahnya kata-kata indah yang dilantunkan itu ditukar kepada berselawat dan salam kehadratmu junjungan yang agung. Kita tidak rugi jika mengasihi Makhluk Allah yang sempurna ini, tetapi sesungguhnya kita beruntung kerana Allah swt telah berfirman:
Bismillah Sungguh telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yg mengharap (Rahmat) Allah dan (Kedatangan ) hari kiamat dan yg banyak mengingati Allah..(Al-Ahzab;21)
Adakah kita bisa memikirkan tentang orang lain jika kita dilanda musibah yang amat berat? Adakah kita mampu untuk tersenyum dikala dirimu dihina manusia? Adakah kita snaggup berdoa untuk orang yang terlalu menzalimi kita?. Sanggupkah kita berlapar demi mengisi perut orang lain?. Sukar untukku berikan jawapan. Terlalu berat persoalan ini untukku jawab. Tetapi bagi manusia ulung ini, tiada alasan atau halangan bagi baginda untuk melakukannya. Baginda masih bisa tersenyum dan berdoa untuk golongan kafir yang selalu menzaliminya sehingga jasad baginda luka dan diselaputi darah yang mengalir angkara mereka. Tiada sedikit dendan terpalit di lubuk hati baginda. Tetapi baginda semakin galak berdoa semoga mereka diberikan sinar nur hidayah untuk bertauhidkan kepada Allah Yang Maha Esa. Kasihnya Rasulullah saw bukan sekadar terhad kepada umat muslim semata-mata, tetapi baginda turut mengasihi golongan-golongan kafir.
Subhanallah.. terasa sukar untukku melengkapkan diriku dengan segala keperibadian rasulku ini. Memang tiada tandingan bagi sekalian makhluk bernama manusia untuk mengatasi ciptaan Yang Esa ini. Wajah yang bercahaya, kemas berseri, lembut tutur bicaranya, dan personaliti yang tenang bersahaja. Tidak dapat untukku gambarkan indahnya manusia ini. Tiada perumpamaan atau bidalan yang cocok untukku diskusikan.
Walau baginda pada mulanya tidak mampu untuk membaca walau sepatah perkataan sekalipun,tetapi dengan keizinan Yang Esa, baginda saw mampu menjadi khalifah terkemuka di seluruh alam semesta. Bukan sekadar di muka bumi yang penuh ranjau dan duri ini semata-mata, tetapi juga meliputi seluruh alam semesta ciptaan Illahi. Begitulah dahsyatnya aura baginda saw ini. Pujian dan sanjungan terhadap baginda saw bukan hanya menitir di bibir kaum muslim Cuma, tetapi turut diakui oleh beberapa ahli cendekiawan barat.

Maha Suci Allah, pemerintah sekalian alam. Sedangku membelek pautan-pautan sirah baginda kutemui suatu yang sangat merentap jiwaku. Luluh jiwaku membaca kisah cintanya Rasulullah saw terhadap umatnya. Ku sertakan sedikit bingkisan ketika malaikat maut datang untuk mencabut nyawa dari tubuh baginda saw. Baginda Rasulullah sempat bertanya kepada Jibril yang hadir bersama Izrail. “Jibril, jelaskan apakah hakku di hadapan Allah?. Jibril terus menjawab, sesungguhnya pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah sedia menyambut rohmu, semua syurga terbuka luas menanti kedatanganmu”. Tapi ternyata ia tidak membuatkan Rasulullah saw lega, matanya masih penuh dengan kerisauan. Rasulullah bertanya lagi kepada Jibril “ khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”. Jibril menjawab “ jangan khuatir Ya Rasulullah. Aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: sesungguhnya kuharamkan syurga kepada sesiapa sahaja, kecuali Umat Muhammad telah berada di dalamnya”.
Seusai itu, berakhir sudahlah riwayat hidup manusia mulia yang memberikan sinar itu. Yang membawa kita keluar dari kepompong kegelapan dan kezaliman kepada sinaran nur kebenaran. Kini…. Apakah kita mencintainya seperti betapa cintanya baginda saw kepada kita?. Apakah bukti cinta dan perbuatan kita selama ini selari?. Apakah kalimah cintah itu ikhlas lahir dari lubuk hati atau sekadar ayat untuk melindungi diri?.
Ya Rasulullah saw…. Kami merinduimu… kami mencintaimu….bukan sekali dua aku mencintaimu…. Tetapi cintaku padamu tiada berkali-kali… kerana engkaulah kekasihku yang hakiki… selawat dan salam ku panjatkan padamu Ya Rasulullah saw… semoga kita dinaungi dibawah panji syafaatnya…

1 comment:

musafir dunia said...

alhamdulillah essay ni dapt tmpat ke3 dalam pertandingan essay sempena maulidur rasul hari tu.. puas hati jgk la coz no3 dari 100++ peserta

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...